02 April 2010

Tangkas di udara...=)

NORAZMAN (lima dari kiri) dan juruterbang serta jurutera bergambar  bersama pesawat MIG-29N selepas menjalani latihan sebagai persiapan  pertunjukan udara aerobatik sempena perasmian Grand Prix Malaysia  Petronas di pangkalan TUDM.

NORAZMAN (lima dari kiri) dan juruterbang serta jurutera bergambar bersama pesawat MIG-29N selepas menjalani latihan sebagai persiapan pertunjukan udara aerobatik sempena perasmian Grand Prix Malaysia Petronas di pangkalan TUDM.
Skuadron MIG-29N TUDM buat pertunjukan aerobatik sempena Grand Prix Malaysia Petronas



SKUADRON MIG-29N Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Kem Batu 10, di sini yang ditubuhkan 15 tahun lalu, bukan saja menjadi nadi utama barisan pertahanan negara daripada ancaman musuh, tetapi memiliki kepakaran dalam mengadakan pertunjukan aerobatik.

Berbekalkan barisan juruterbang berpengalaman, keupayaan Skuadron MIG-29N TUDM kini boleh dibanggakan dengan keupayaannya mengendalikan pesawat yang mampu melangkaui dua kali kelajuan bunyi.
Ini terbukti apabila lima daripada 16 pesawat pejuang itu diundang mengadakan pertunjukan aerobatik sempena perasmian Grand Prix Malaysia Petronas di ruang angkasa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama tiga hari, bermula hari ini.

Skuadron yang dikenali dengan panggilan `smokey bandits' itu akan menggegarkan ruang udara SIC dalam pertunjukan udara selama 10 minit yang mendebarkan itu dengan diserikan aksi aerobatik `Taufan Ganas' bertemakan kelajuan dan kebingitan.

Pegawai Memerintah Skuadron MIG-29N, Leftenan Kolonel Norazman Samion, berkata persembahan udara itu akan mempamerkan kehebatan juruterbang melakukan pergerakan formasi berkordinasi selain pergerakan solo.

Tiga pesawat akan melakukan penerbangan formasi, manakala dua lagi secara solo. Pesawat canggih ini mampu diterbangkan pada kelajuan 2.3 mach tetapi kami hanya dibenarkan terbang pada kelajuan sehingga 500 knot.

Beliau berkata, tidak banyak pergerakan formasi yang boleh dibuat kerana masa yang diperuntukkan hanya 10 minit, tetapi anggota pasukannya mengadakan latihan selama dua minggu sebagai persiapan mengadakan pertunjukan udara itu.

Katanya, persembahan itu bermula jam 11.30 pagi ini, Sabtu (12.30 tengah hari) dan Ahad (2.40 petang).

Norazman yakin pasukannya mampu mempamerkan persembahan yang mantap kerana kelima-lima juruterbangnya mempunyai pengalaman mengendalikan pesawat MIG-29N.

"Mereka mempunyai pengalaman menerbangkan pesawat canggih itu antara 200 jam dan 1,300 jam selain pernah mengadakan pertunjukan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Langkawi (Lima) serta latihan udara bersama tentera udara Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Paling menarik pada persembahan kali ini, pasukan itu turut disertai seorang juruterbang wanita, iaitu Mejar Patricia Yap Syau Yin.

Patricia, 33, yang berasal dari Sandakan, Sabah adalah satu-satunya juruterbang wanita pesawat MIG-29N yang akan menunjukkan kemampuannya setanding dengan juruterbang lelaki.

"Saya sangat berbesar hati kerana diberi peluang mengadakan pertunjukan udara sempena perasmian Grand Prix Malaysia Petronas dan akan memberikan persembahan terbaik," katanya.

Beliau yang masih bujang mempunyai pengalaman terbang selama 1,260 jam dan 350 jam pesawat MIG-29N.

Rakannya, Kapten M Azizi Musa, 33, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, mengakui teruja apabila terpilih untuk mengadakan pertunjukan udara bersama rakan sepasukannya yang lain.

Anak kedua daripada empat beradik itu yang mempunyai pengalaman selama dua tahun mengendalikan pesawat MIG berkata beliau sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik.

"Selain merakamkan 170 jam menerbangkan MIG-29N, saya mempunyai pengalaman menerbangkan pesawat Aermacchi MB339A dan Pilatus PC7 dengan keseluruhan 700 jam penerbangan.

"Bagi pertunjukan udara kali ini, latihan bertumpu kepada kordinasi pergerakan dan ketepatan masa bagi memastikan pergerakan pesawat menepati formasi," katanya.

Bapa kepada dua anak berusia dua dan tiga tahun itu pernah terbabit dalam penerbangan bersama Tentera Marin AS, Tentera Udara AS dan Tentera Udara Diraja Australia (RMAF).

Seorang lagi anggota Skuadron MIG-29N yang terbabit dalam pertunjukan udara itu ialah Kapten Muhammad Zulkarnain Abdullah, 43, yang akan bertindak sebagai pengulas pertunjukan udara.

Walaupun tidak menerbangkan pesawat bersama anggota pasukannya, tugas beliau tidak kurang penting kerana bertanggungjawab memberikan maklumat kepada penonton mengenai formasi yang dipersembahkan.



No comments: